PETALING JAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) terus melaksanakan saringan berkala di semua laluan masuk sama ada di balai ketibaan atau balai berlepas bagi memastikan tiada cubaan warga asing masuk tanpa mematuhi syarat-syarat kemasukkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
AKPS memaklumkan kepada Utusan Malaysia, pemantauan juga dibuat di tempat-tempat berkumpul yang strategik di lapangan terbang itu.
Jelasnya, pengoperasian di pintu-pintu masuk dilaksanakan 24 jam sehari dengan penugasan dibahagikan kepada tiga syif melibatkan empat pasukan.
“Setiap syif melibatkan antara 146 sehingga 169 orang anggota mengikut setiap pasukan manakala bagi pasukan pemantau pula, lebih kurang 10 pegawai yang bertugas mengikut masa-masa tertentu” katanya.
Tambah AKPS, bagi memperkasa dan mengukuhkan peranan pasukan pemantau KLIA, bilangan anggota akan ditambah mengikut keperluan. AKPS juga menerusi Airport Operators Commitee (AOC) menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk meningkatkan kesedaran mengenai syarat-syarat kemasukan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 25,568 warga asing telah ‘dihalang’ daripada memasuki negara ini sejak 2024 sehingga Mei lalu.
Kesemua mereka terdiri daripada 6,755 warga India di ikuti Bangladesh (4,867), Pakistan (4,757), Indonesia (2,486), Myanmar (1,126) Vietnam (117) dan lain-lain (4,718) disenaraikan di bawah Not To Land (NTL).
Antara sebab utama warga asing terbabit dikenakan tindakan NTL kerana gagal menjelaskan tujuan kemasukan sama ada untuk melancong, lawatan sosial atau urusan perniagaan. – UTUSAN