MELAKA: Tekanan perasaan kerana dipaksa belajar oleh ibu dan abang dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki bertindak membunuh kedua-dua ahli keluarganya dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 17 tahun yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini ditahan kira-kira pukul 5 pagi dalam keadaan termenung di hadapan rumahnya selepas kejadian berdarah itu.
Katanya, suspek mengaku menikam ibunya berusia 51 tahun yang juga seorang guru serta abangnya berumur 21 tahun sehingga maut, manakala adik berusia 13 tahun yang turut ditikam kini sedang dirawat di hospital.
“Motif kejadian dipercayai disebabkan tekanan emosi dan dendam kerana sering dimarahi serta dipaksa belajar oleh ibu dan abang. Suspek merancang perbuatan itu lebih awal dan membawa pisau lipat sepanjang kira-kira 20 sentimeter (cm) dalam beg sekolahnya.
“Mangsa ditikam berulang kali di leher, pinggang dan belakang badan. Kejadian disedari abang suspek yang cuba menyelamatkan ibu mereka, namun turut maut akibat ditikam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Tambah Dzulkhairi, adik bongsu suspek mengalami kecederaan parah selepas cuba menghalang tindakan abangnya dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya, pemeriksaan mendapati sistem kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian berjaya merakam sebahagian insiden, termasuk cubaan suspek melupuskan pisau dan beberapa barang bukti lain.
“Polis berjaya menemui semula barang kes dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah serta alkohol,” ujarnya.
Suspek dijangka direman esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN