PETALING JAYA: Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa gabungan itu akan terus menggunakan lambang dacing dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) menimbulkan kekeliruan dalam kalangan parti komponen dan akar umbi BN.
Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, penggunaan lambang BN bukanlah isu pokok memandangkan ia sememangnya menjadi amalan sejak sekian lama.
Namun, katanya, persoalan utama yang berbangkit dalam kalangan ahli MCA adalah mengenai hala tuju sebenar BN dalam menghadapi PRU akan datang.
“Isu utama yang dibangkitkan oleh ahli-ahli dan akar umbi MCA ketika ini ialah hala tuju BN dalam PRU-16, bukannya soal lambang atau bendera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Teik Cheng turut merujuk kenyataan terdahulu Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang memaklumkan bahawa MCA telah memberi tempoh dua tahun kepada BN untuk menyelaraskan hala tuju selepas PRU-15, namun tiada sebarang penjelasan konkrit diberikan sehingga kini.
Beliau berkata, MCA mahukan kepastian mengenai kedudukan BN dalam kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH), terutama dari segi pembahagian kerusi serta strategi politik PRU-16.
“Isu pengagihan kerusi tidak pernah dibincangkan secara khusus dalam mana-mana mesyuarat kepimpinan tertinggi MCA setakat ini.
“MCA berharap agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN dapat mengadakan perbincangan dalaman bersama parti-parti komponen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman berkaitan perkara seperti pengagihan kerusi,” ujarnya.
Tambah beliau, semua keputusan berkaitan dasar politik seharusnya dibuat secara konsensus dan berlandaskan semangat muafakat yang menjadi tunjang kekuatan BN sejak sekian lama.
Sehubungan itu, MCA menuntut kepimpinan BN menjelaskan pendirian sebenar dan memperkukuh komunikasi dalaman agar setiap komponen dapat bersedia dan bergerak seiring dalam menghadapi PRU yang semakin hampir. – UTUSAN