AIM umum tambahan dana RM50 juta bantu usahawan wanita India

AIM umum tambahan dana RM50 juta bantu usahawan wanita India

Ahli Lembaga Pemegang Amanah (AIM), Mohd Najib Mohd Noor (kanan) menyerahkan mock check tambahan dana pembiayaan peruntukan P.E.N.N sebanyak RM50 juta kepada Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan. UTUSAN/NURUL NATASHA SURIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan tambahan dana sebanyak RM50 juta bagi memperkasa program Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women (P.E.N.N), menjadikan jumlah peruntukan mencecah RM100 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, tambahan dana dibuat susulan kejayaan fasa pertama P.E.N.N yang memberi memanfaat kepada 6,247 wanita India dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM42.7 juta.

Kata beliau, daripada jumlah penerima itu, sebanyak 1,062 merupakan usahawan baharu pertama kali menceburi bidang perniagaan.

“Dengan tambahan RM50 juta ini, kami menyasarkan lebih 10,000 usahawan wanita India menerima manfaat melalui pembiayaan mikro yang mudah, tanpa cagaran, penjamin atau penyata kewangan.

“Peluang ini dijangka membuka lebih banyak ruang kepada wanita untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana ekonomi keluarga,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran P.E.N.N 2.0 di pekarangan Ibu Pejabat AIM di Bandar Sri Damansara di sini, hari ini.

Ramanan menyifatkan tambahan peruntukan itu langkah proaktif kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan wanita India, selari dengan dasar inklusif pembangunan sosioekonomi negara.

“Selain pembiayaan, peserta turut diberi bimbingan dan pemantauan berterusan daripada pihak AIM bagi memastikan perniagaan mereka berkembang secara mampan. Program ini merangkumi pelbagai sektor seperti makanan, jahitan, kecantikan dan perkhidmatan komuniti.

“Berdasarkan data pemantauan AIM, penerima pembiayaan P.E.N.N fasa pertama berjaya meningkatkan pendapatan antara 20 hingga 30 peratus, satu petunjuk positif yang membuktikan keberkesanan pendekatan pembiayaan dan sokongan menyeluruh agensi itu”, katanya.

Sejak penubuhannya, AIM telah menyalurkan lebih RM35.9 bilion kepada rakyat Malaysia, khususnya wanita berpendapatan rendah.
Pada 2024, AIM mencatatkan kejayaan luar biasa apabila kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) direkodkan pada paras terendah dalam sejarah 38 tahun operasi agensi itu, iaitu hanya 0.02 peratus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN