GEORGE TOWN: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim enggan mengulas kenyataan sinis dilontarkan oleh aktivis politik, Fahmi Reza susulan isu mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0.
Adam Adli berkata, dia belum melihat kenyataan yang dimuat naik Fahmi di platform Facebook.
“Saya tak tengok apa-apa lagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ahad lalu, beberapa pelajar UMS dilaporkan membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, Fahmi menyatakan solidariti kepada mahasiswa yang ditahan polis, sambil mengkritik penggunaan Akta Hasutan 1948 yang didakwa bertujuan menakut-nakutkan anak muda.
Fahmi turut menyindir Adam Adli dan Anwar yang didakwa telah berubah daripada figura perjuangan kepada sebahagian sistem yang pernah mereka lawan.
“Jangan jadi macam Adam Adli dan Anwar Ibrahim, dulu melawan, sekarang tunduk dan jadi sebahagian sistem yang dulu dilawan,” katanya. – UTUSAN