KOTA BHARU: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) mengakui ada dalam kalangan pesara atau veteran tentera menjadi mangsa scam melibatkan skim cepat kaya dan jualan langsung (MLM).
Ketua Sektor Latihan Kemahiran dan Keusahawanannya, Dr. Nor Hayati Yahya berkata, susulan itu pelbagai langkah telah diambil terumasuk memberi peringatan terutamanya kepada bakal pesara supaya tidak mudah di scam.
“Kita (Perhebat) turut menjemput wakil daripada Cyber Security untuk memberi taklimat mengenai jenayah siber. Setakat ini kita (Perhebat) hanya boleh beri taklimat kepada pelatih sebelum mereka tamat latihan.
“Ketika itu mereka (pelatih) mempunyai duit serta ganjaran. Jadi macam-macam benda atau perkara boleh datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Perhebat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri yang disempurnakan oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.
Pada majlis tersebut, Perhebat Kelantan dan Terengganu melancarkan tabung derma kilat kepada Nur Dalila Farhana, 21, iaitu salah seorang daripada 15 pelajar Uniersiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan ngeri di Gerik, Perak pada Isnin lepas
Hasil kutipan derma akan diserahkan kepada bapa mangsa, Mohamad Isma Abdul Manaf yang merupakan seorang pesara tentera di Kampung Bharu Tok Dor, Jerteh, Terengganu dan bekas pelatih Perhebat.
Dalam perkembangan lain, Nor Hayati memberitahu, lebih 100 peserta dari Sabah dan Sarawak dijangka menyertai Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (Puvet) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun ini.
Katanya, Perhebat kini sedang mengenal pasti peserta yang layak menyertai program yang bakal dilaksanakan melalui peruntukan dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berdasarkan syarat-syarat ditetapkan.-UTUSAN