PUTRAJAYA: Kira-kira 80 jemaah haji yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci hari ini terpaksa membatalkan niat murni itu apabila mereka dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Difahamkan, kumpulan jemaah itu ditahan pasukan ‘task force’ ekoran menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Penasihat undang-undang juga aktivitis Mind Pro Management, Ena Ewil berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya, jemaah terkandas itu dijanjikan visa mujamalah, namun gagal mendapatkannya sebelum diberikan visa pelancong.
“Kami dimaklumkan oleh jemaah terkandas, mereka dijanjikan visa mujamalah untuk ke Tanah Suci, tetapi disebabkan masalah teknikal pada sistem Nusuk, visa itu tidak dapat dikeluarkan.
“Bagaimanapun, pihak agensi pelancongan yang terlibat tetap memilih untuk menerbangkan jemaah menggunakan visa pelancong,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan agensi pelancongan itu menggunakan visa pelancong ke Tanah Suci menyebabkan kumpulan jemaah terbabit ditahan pasukan petugas khas di KLIA.
“Difahamkan, seramai 80 jemaah dan dua wakil syarikat telah ditahan.
“Berdasarkan maklumat awal juga, wakil syarikat turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN