70,000 pemilik petak strata di Pulau Pinang berisiko hilang milik

70,000 pemilik petak strata di Pulau Pinang berisiko hilang milik

DR. FAIZAL KAMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lebih 70,000 pemilik petak strata di Pulau Pinang kini berdepan risiko kehilangan milikan petak masing-masing.

Situasi itu mungkin berlaku selepas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri merekodkan tunggakan cukai petak yang tinggi mencecah RM12.5 juta setakat 1 Jun lalu.

Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dr. Faizal Kamarudin berkata, daerah Timur Laut mencatatkan jumlah tunggakan tertinggi, membabitkan 32,000 akaun cukai petak strata sejak cukai petak diperkenalkan pada tahun 2019.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan jumlah pemilik petak yang besar dan 

sekiranya tunggakan masih tidak dijelaskan, kita tiada pilihan selain mengeluarkan Notis Tuntutan Tunggakan Cukai Petak melalui Borang 11 di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 kepada semua pemilik yang terlibat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Faizal, jika selepas tiga bulan daripada tarikh notis itu dikeluarkan masih tiada bayaran yang diterima pula, maka, tindakan perampasan di bawah Seksyen 23H Akta yang sama akan dilaksanakan. 

“Ini bermaksud, petak strata tersebut akan dirampas dan menjadi milik Pihak Berkuasa Negeri,” ujar beliau.

Jelasnya, majoriti tunggakan tersebut berlaku sejak enam tahun lalu dan beliau menyeru semua pemilik petak strata di Pulau Pinang supaya segera menjelaskan tunggakan masing-masing bagi mengelak tindakan undang-undang diambil.

“Kami berharap agar semua pemilik petak strata di Pulau Pinang dapat membuat bayaran tunggakan cukai petak dengan segera bagi mengelakkan tindakan perampasan (forfeiture) di bawah seksyen 23H Akta Hakmilik Strata 1985 diambil terhadap mereka,” katanya.

Tambah Faizal, pemilik yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkara ini diminta segera berhubung dengan PTG Pulau Pinang atau mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN