64 individu rugi RM2 juta ditipu sindiket 'infak haji'

64 individu rugi RM2 juta ditipu sindiket ‘infak haji’

Ena (duduk dua dari kanan) bersama mangsa sindiket 'infak haji'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 64 individu berputih mata apabila kerugian keseluruhan lebih RM2 juta selepas mendakwa ditipu tawaran sindiket ‘infak haji’ yang berpangkalan di Sarawak.

Lebih memeranjatkan, mangsa diperdaya dengan tawaran haji mujamalah serta tawaran pakej haji mewah bernilai RM120,000 setiap seorang di bawah sebuah syarikat pengelola jemaah haji (PJH) tempatan.

Teruja dengan tawaran itu, setiap daripada mereka dikehendaki membayar sejumlah wang pendahuluan bermula RM5,000 yang berselindung di sebalik nama ‘yuran pengurusan’ dan ‘bayaran visa’.

Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, mangsa mendakwa diminta terus membuat bayaran-bayaran lain sehingga mencecah puluhan hingga ratusan ribu.

Selepas segala bayaran dibuat, mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas tajaan haji yang dijanjikan tidak diserahkan ketika musim haji lalu dengan alasan hartawan yang ingin menginfakkan haji itu telah meninggal dunia.

Pesara kerajaan yang mahu dikenali sebagai Nora, 66, berkata, dia kerugian kira-kira RM300,000 malah, kempunan untuk menghantar abang, kakak ipar dan dua anak mereka untuk menunaikan haji tahun ini.

Katanya, dia tertarik dengan tawaran infak haji ditawarkan sindiket itu sebelum memutuskan untuk menghantar empat saudaranya ke Tanah Suci.

“Saya dapat info mengenai tawaran itu pada Oktober tahun lalu selepas dikongsi rakan. Pada ketika itu, rakan memaklumkan ada empat lagi kekosongan.

“Secara keseluruhan saya sudah mengeluarkan RM300,000 daripada duit simpanan, duit anak dan duit pencen untuk mendapat tawaran itu.

“Malah, saya juga terpaksa menyerahkan kira-kira RM70,000 bagi membantu membuka akaun bank bagi membolehkan pengeluaran wang dibuat ke atas akaun milik ‘hartawan’ itu disebabkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Umie Saf, 61, berkata, dia kerugian sebanyak RM46,000 dan mula membayar kepada orang tengah yang menguruskan infak itu sejak Oktober tahun lalu.

Katanya, dia pada mulanya teruja kerana dijanjikan tawaran itu namun, lama kelamaan mula rasa ditipu apabila orang tengah itu kerap meminta pelbagai bayaran lain yang tidak masuk akal.

“Lepas bayar RM20,000 dia mintak lagi RM5,000 dan masa itu saya sudah rasa tertipu. Malah, apabila tiba bulan Ramadan lalu, kami mula keluh kesah kerana surat tawaran haji belum dapat.

“Saya tahu harapan untuk dapat balik wang amat susah namun, saya mahu tindakan diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab bagi mengelak kes sama berulang pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis Mind Pro Management, Ena Ewil berkata, kesemua mangsa telah membuat laporan polis malah, identiti suspek juga telah dikenalpasti.

“Kami menggesa individu berkenaan untuk datang berunding dan sekiranya gagal pihak kami tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN