60,000 penyokong dijangka hadir kelayakan Piala Asia 2027

60,000 penyokong dijangka hadir kelayakan Piala Asia 2027 malam ini

piala asia
Harimau Malaya akan menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menjangkakan seramai 60,000 penyokong bola sepak hadir bagi menyaksikan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Asia 2027 antara pasukan Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi membabitkan bantuan daripada pelbagai jabatan dan unit bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin sepanjang perlawanan berlangsung. 

Katanya, semua pintu masuk stadium akan dibuka pada pukul 5.30 petang.

Kata beliau, pemeriksaan akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dan selepas penonton memasuki stadium termasuk pemeriksaan badan serta beg. 

“Penonton diingatkan supaya tidak membawa masuk barang terlarang ke dalam stadium mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, sebarang objek tajam, senjata, minuman keras, payung dan pengecas mudah alih (powerbank). 

“Selain itu, botol air, ais ketul, pemetik api, rokok, rokok elektronik, drone, pembesar suara dan gendang (tanpa kebenaran FAM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan polis menasihatkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengelakkan jalan sekitar stadium jika tidak hadir perlawanan bagi mengelakkan kesesakan. 

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan daripada pegawai dan anggota polis bertugas, mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur ketika sedang memandu kenderaan, tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium. 

“Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas. Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) hanya berperanan mengatur pergerakan lalu lintas di sekitar stadium,” jelasnya.

Ridzuan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang cuba mencetuskan kekacauan, rusuhan serta provokasi melampau semasa perlawanan mahupun selepas tamat perlawanan bola sepak itu. 

Kata beliau, sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 032115 9999 atau Hotline Polis Cheras di talian 039284 5050/5051 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN