PENDANG: Sebanyak 550 bot kawalan jauh dari lapan buah negara, bakal menggegarkan Tasik Pendang, di sini sempena Kedah International RC Powerboat Racing 2025 bermula 13 hingga 15 Jun ini.
Pengarah program, Jasmi Harun berkata, penganjuran tahun ini mencatatkan jumlah penyertaan lebih tiga kali ganda berbanding tahun lalu, sekali gus menggambarkan peningkatan prestij perlumbaan.
“Tahun lalu cuma 180 bot dari Malaysia, Thailand dan Singapura mengambil bahagian namun kali ini, jumlah bot meningkat kepada 550 dengan penyertaan turut melibatkan peserta dari Vietnam, Myanmar, Indonesia, Brunei dan Kuwait.
“Peserta tempatan pula datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Rata-rata yang hadir memiliki nama besar dalam dunia bot kawalan jauh, masing-masing teruja untuk berlumba di Tasik Pendang yang dianggap antara lokasi terbaik untuk berlumba kerana keluasan tasik dan ketenangan airnya.
“Dengan kelajuan mampu mencecah 130 kilometer sejam, pengunjung akan dapat melihat bagaimana bot kawalan jauh saling memintas antara satu sama lain. Jadi mereka kena hadir saksikan acara ini bermula 8 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd. Zaidy Omar memaklumkan, perlumbaan sebahagian daripada acara tahunan sempena Tahun Melawat Kedah 2025.
Selain perlumbaan bertaraf antarabangsa, terdapat juga pelbagai aktiviti sampingan antaranya pameran pelbagai agensi dan jualan produk tempatan.
“Program dirancang bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Kedah. Dengan kejayaan penganjuran kali ini, kita harap lebih ramai peserta dari banyak negara dapat hadir ke Kedah tahun depan,” katanya. – UTUSAN