SEPANG: Seramai 347 daripada 573 jemaah haji Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) selamat tiba di tanah air awal pagi tadi selepas berada selama 46 hari di Tanah Suci bagi menyempurnakan ibadah itu bagi musim haji 1446H/2025.
Ketibaan kumpulan pertama jemaah haji itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Saudia Airlines disambut Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris.
Menurut Ida Riswana, baki jemaah yang kini masih berada di Tanah Suci pula akan pulang secara berperingkat dengan penerbangan terakhir dijangka pada 10 Julai depan.
Katanya, perjalanan ibadah haji pada tahun ini juga disifatkan lebih teratur dan lancar, seterusnya membolehkan Duyufurrahman menunaikan ibadah secara lebih sempurna.
“Sebenarnya, tahun ini agak istimewa disebabkan keadaan yang sangat teratur ekoran jemaah dijemput menunaikan haji merupakan mereka yang mempunyai visa.
“Jadi, jumlahnya kurang berbanding tahun sebelum ini. Selain itu, ibadah wukuf juga dilaksanakan dengan sangat teratur,. Layanan diberikan oleh muassasah juga sangat baik selain cuaca pada tahun ini juga kurang panas berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan KLIA di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran kesihatan di Tanah Suci, Ida Riswana berkata, perkara itu dapat dikendalikan dengan sebaiknya seterusnya membolehkan jemaah pulang ke tanah air dengan selamat.
“Tahun ini kita tidak banyak sangat cabaran yang ada. Sakit biasa itu masih ada, cuma kita ada satu kematian melibatkan jemaah haji lelaki yang terkena serangan jantung selepas selesai melontar jamrah.
“Jemaah juga mengikut peraturan ditetapkan terutamanya daripada segi waktu dan cuaca memandangkan kita menjangkakan suhu akan menjadi begitu panas,” katanya.
Dalam pada itu, Ida Riswana berkata, peraturan menunaikan haji pada tahun ini juga dilihat lebih ketat yang mana Arab Saudi mahu memastikan tiada jemaah yang masuk ke Mekah tanpa sebarang visa.
“Mereka yang transit di Jeddah dan Madinah dan mahu masuk ke Mekah juga tidak dibenarkan langsung.
“Selain itu, dari Mekah ke Arafah juga ada enam ‘checkpoint’ yang perlu dilalui. Jadi, jika ada visa yang sah, ia tidak menjadi masalah, cuma ambil masa kerana banyak pemeriksaan,” katanya.
Untuk rekod, pakej haji Andalusia bagi tahun ini bermula dengan harga RM43,000 selain jemaah terpilih perlu mendapat tawaran daripada Tabung Haji. – UTUSAN