PETALING JAYA: Tiga lelaki ditahan dalam insiden kejar-mengejar antara kenderaan peronda polis (MPV) dan sebuah kereta di Seri Kembangan awal pagi ini.
Hasil penahanan ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 40 hingga 51 tahun itu turut menemukan pelbagai dadah dan satu unit bateri motosikal disyaki alat letupan buatan (IED).
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisoner, Muhamad Farid Ahmad berkata, pada mulanya pasukan peronda polis sedang menjalankan pemeriksaan mengejut di kawasan tersebut pada pukul 3.30 pagi.
Namun kata beliau, anggota bertugas telah menahan sebuah kereta berwarna kelabu yang dinaiki tiga lelaki.
Sebaliknya kenderaan tersebut bertindak melarikan diri dengan memecut laju menghala ke arah Seri Kembangan, Selangor.
“Insiden kejar mengejar telah berlaku sehingga di persimpangan Jalan Suakasih susur keluar lebuh raya Kajang Silk.
“Rentetan itu, kenderaan suspek telah hilang kawalan dan melanggar pembahagian jalan di KM 5.1 menyebabkan kereta terbalik di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, semua suspek mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Serdang mendapatkan rawatan.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati dua suspek mempunyai 43 rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.
“Salah seorang suspek mempunyai satu rekod dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta dadah berbahaya 1952.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Beliau menambah, ketiga-tiga suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 3 Akta Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.
“IPD Serdang mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan dadah dengan menghubungi bilik gerakan di talian 03-8074 2222 atau di mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.