SHAH ALAM: Sebanyak 2,120 botol pencuci pakaian disyaki tiruan dirampas di sebuah kilang di Rawang yang digempur pihak berkuasa semalam.
Serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Gombak menerusi Op Gempur.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, operasi di bawah perlindungan harta intelek itu turut disertai wakil pemilik cap dagang jenama bahan pencuci pakaian berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan ribuan botol bahan itu yang didapati menggunakan cap dagang secara tidak sah.
“Kesemua 2,120 botol pencuci pakaian disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM29,680 disita bagi tindakan lanjut. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102 (c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya. – UTUSAN