SHAH ALAM: Kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan seramai 200,000 individu daripada senarai bankrap menjelang hujung tahun ini sebagai sebahagian pelaksanaan Dasar Peluang Kedua yang diumumkan menerusi Belanjawan 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sehingga kini, seramai 186,000 individu sudah berjaya dilepaskan daripada status bankrap dengan maklumat rasmi diperoleh daripada Jabatan Insolvensi.
“Seperti saya nyatakan dalam ucapan, lelaki masih mencatatkan jumlah tertinggi yang terlibat dengan kebankrapan berbanding wanita.
Sehingga hari ini, 186,000 individu sudah keluar daripada senarai bankrap.
“Kita harap menjelang hujung tahun ini, jumlah itu dapat mencapai 200,000 seperti yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya selepas merasmikan Program Perdana Literasi Kewangan Peringkat IPTA/IPTS di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.
Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib dan Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi, Azwarnida Affandi.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan Dasar Peluang Kedua akan diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000.
Ia diperkenalkan kerajaan sebagai usaha memberi nafas baharu kepada individu yang bankrap untuk kembali menyumbang kepada ekonomi negara serta menjalani kehidupan lebih stabil dan bermaruah.
Dalam perkembangan berkaitan, statistik kes kebangkrapan antara 2021 hingga Mei tahun ini direkod membabitkan 25,578 individu yang berusia lingkungan 25 tahun ke atas.
Daripada jumlah itu, individu berusia 35 hingga 44 tahun adalah kumpulan tertinggi terbabit kebankrapan meliputi 10,145 individu.
Daripada segi jantina pula, sejumlah 18,590 lelaki dilaporkan bankrap, manakala 6,903 adalah perempuan dengan 85 lagi dalam kategori tidak pasti.
Azalina turut menegaskan kepentingan pendidikan dan kesedaran kewangan dalam kalangan generasi muda, khususnya berkaitan penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.
Laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan 53,000 individu di bawah 30 tahun sudah dibebani hutang hampir RM1.9 bilion.
Data statistik dikeluarkan Jabatan Insolvensi setakat Mac 2024 pula menunjukkan daripada 206,066 jumlah kes kebankrapan yang diuruskan jabatan itu mendapati golongan umur 35 tahun hingga 44 tahun paling ramai bankrap dengan rekod sebanyak 10,489 kes.
Menurutnya, penggunaan kad kredit tanpa pemahaman risiko, termasuk kadar faedah tinggi, menjadi antara punca utama golongan belia terjerumus ke dalam kebankrapan.
“Saya berpesan kepada para pelajar agar ambil tahu segala syarat dan maklumat yang disertakan apabila menerima tawaran kad kredit. Ramai yang baru bekerja terus berbelanja menggunakan kad kredit tanpa menyedari faedah dikenakan setiap kali pembelian dilakukan,” katanya.
Katanya, penggunaan kad kredit seharusnya disertai dengan disiplin dan pengetahuan asas kewangan agar tidak membawa kepada beban hutang yang berpanjangan.
“Salah satu punca anak muda terjebak bankrap ialah kerana terlalu mudah berbelanja secara hutang. Oleh itu, literasi kewangan adalah kunci utama mengelakkan perkara ini daripada berlaku,” katanya.
Tahap celik kewangan yang rendah dalam kalangan rakyat turut membimbangkan memandangkan hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia.
Sehingga 2023, hutang isi rumah mencecah RM1.53 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadikan ia salah satu nisbah tertinggi di rantau ini. – UTUSAN










