PUTRAJAYA: Seramai 153,000 pekerja di 34 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bakal menikmati gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan menjelang akhir tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketika ini, enam GLIC dan tiga GLC telah mencapai tahap gaji itu, manakala 25 lagi agensi dijangka berbuat demikian akhir tahun ini.
Beliau berkata, ia berjaya dicapai menerusi Program Pengaktifan dan Pembaharuan Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang digerakkan kerajaan sejak hampir setahun lalu.
“Setakat ini, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan telah melabur kira-kira RM11 bilion dalam GEAR-uP itu daripada RM25 bilion yang disasarkan dalam tempoh setahun pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Taklimat Media GEAR-uP di sini, hari ini.
Katanya, sejak dilancarkan Ogos 2024, beliau secara peribadi gembira dengan pencapaian yang telah diraih menerusi ikhtiar berkenaan.
GEAR-uP diterajui oleh enam GLIC utama Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Amir Hamzah berkata, GEAR-uP kini menunjukkan momentum awal yang signifikan ke arah mencapai matlamat bagi menggerakkan RM120 bilion ke dalam ekonomi domestik negara dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, perkembangan ini amat penting sebagai tunjang strategik Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan dinamik perdagangan dunia.
“Antara inisiatif utama yang akan diteruskan dalam beberapa tahun akan datang termasuk melaksanakan pelaburan bernilai RM11 bilion yang telah dirancang.
“Pada masa sama, PNB juga akan mengetuai usaha bagi melahirkan 10 syarikat bumiputera bersedia untuk tawaran awam permulaan (IPO) manakala, KWSP pula akan meningkatkan pelaburan dalam bidang penjagaan kesihatan dan penjagaan warga emas.
“Selain itu, LTAT dan PNB pula akan memperkukuh pengeluaran farmaseutikal tempatan termasuk biofarmaseutikal,” katanya.
Katanya, GEAR-uP ialah tentang mempertingkat taraf hidup rakyat dan membina jaguh serantau dalam industri berteknologi tinggi agar Malaysia mampu melonjak ke tahap lebih tinggi.
Menjelang masa hadapan, Amir Hamzah berkata, GEAR-uP akan memperluas skopnya melibatkan lebih 30 GLC di bawah GLIC yang mengambil bahagian.
“Syarikat-syarikat ini akan digerakkan dengan aspirasi bersama untuk mencapai permodalan pasaran RM100 bilion dengan pulangan kepada pemegang saham 7.5 peratus serta melaksanakan impak bukan kewangan termasuk gaji sara hidup, pengembangan perusahaan Bumiputera dan pembangunan bakat serta pemimpin masa depan,” katanya. – UTUSAN