PASIR PUTEH: Sebanyak 15 buah ambulans milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Pasir Puteh dan Besut, Terengganu digerakkan ke Perak bagi membantu membawa pulang jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Perak, semalam.
Pengasas Badan Amal Tengku Harith Team Ventures (THTV), Tengku Harith Tengku Aziz berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Team Amal Besut, Ummah Care dan NGO Utara Semenanjung bagi melancarkan pengurusan jenazah.
“Kami menggerakkan tiga buah ambulans, Team Amal Besut (11 buah) dan Ummah Care sebuah. Kami semua berkumpul di Masjid Hadhari, Jertih sebelum bertolak secara konvoi ke Gerik dan Ipoh bagi menyelaraskan pengurusan jenazah bersama NGO dari bahagian utara.
“Urusan membawa kampung halaman mangsa akan ditentukan berdasarkan koordinasi bersama pihak NGO Utara serta permintaan daripada ahli keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Harith merayu pengguna jalan raya memberikan kerjasama dengan membuka laluan kepada konvoi tersebut dalam memudahkan urusan pengurusan jenazah.
“Kami turut membawa kelengkapan lengkap penyempurnaan jenazah seperti kain kafan dan keperluan lain bagi mempercepat urusan pengkebumian sebaik selesai proses bedah siasat,” ujarnya.
Nahas kira-kira pukul 1 pagi itu mengorbankan 15 nyawa membabitkan 14 pelajar UPSI dan seorang kelindan bas. Ia melibatkan sebuah bas dan kereta jenis Perodua Alza, mengakibatkan bas berkenaan terbalik manakala kereta pula terbabas ke dalam parit. – UTUSAN