PUTRAJAYA: Sebanyak 121 buah sekolah padat di tujuh negeri dikenal pasti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk dibina bilik darjah tambahan baharu bagi aliran perdana dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pada masa sama, pihaknya juga akan menyediakan kemudahan infrastruktur serta kelengkapan seperti peralatan pengajaran dan perabot kepada sekolah terlibat.
Katanya, kos keseluruhan projek adalah berjumlah RM88 juta.
“Sekolah-sekolah terlibat mengikut negeri adalah di Selangor (103), Perak (lapan), Pahang (empat), Negeri Sembilan (tiga) dan masing-masing satu di Terengganu, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Projek akan dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia,” katanya hari ini.
Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Projek Naik Taraf Sekolah Berkepadatan Tinggi telah disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, hari ini.
KPM berkata, pihaknya sentiasa berusaha menangani isu sekolah padat di seluruh negara dan menyediakan akses pendidikan yang kondusif untuk semua murid, guru dan warga sekolah.
“Ini termasuk menerusi pembinaan bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah Industrial Building System (IBS) dan kemudahan-kemudahan lain sebagai penyelesaian jangka pendek dan efektif di sekolah berkepadatan tinggi.
“Kaedah IBS dan lukisan Pre Approved Plan (PAP) dapat memastikan tempoh pembinaan yang singkat dan siap pada tahun semasa,” katanya. – UTUSAN