KUALA NERUS: Sebuah bot yang membawa sampah di sebuah resort di Pulau Redang, di sini, tenggelam ketika dalam perjalanan ke tanah besar, Selasa lalu.
Bagaimanapun, difahamkan tekong bot dan awak-awak tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya diselamatkan.
Seorang penduduk Shahrunizam Yusof,30, berkata, difahamkan, ketika kejadian bot tersebut baru sahaja selesai mengangkut sampah dari sebuah resort di kawasan Pasir Panjang, di sini, untuk dibawa ke Jeti Merang, Setiu sebelum dihantar ke pusat pelupusan sampah menggunakan lori.
“Bot itu karam kira-kira 50 meter dari dataran. Pada awalnya hanya sebahagian bot yang tenggelam namun lama kelamaan bot itu hanya tinggal bumbung. Kesemua sampah yang dianggarkan lebih 100 kilogram turut terapung dalam air dan tenggelam,” katanya hari ini.
Shahrunizam berkata, meskipun sampah-sampah tersebut dikutip, masih ada sisa pepejal itu yang berada di bawah bot di lokasi kejadian dan beberapa penyelam daripada pertubuhan bukan kerajaan mengambil inisiatif membersihkan sisa tersebut.
“Kita bimbang juga kalau keadaan ini menjejaskan ekosistem marin sebab bila sampah banyak sudah pasti menyebabkan laut tercemar. Kita berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera melakukan kerja-kerja pembersihan ini,” katanya.
Terdahulu, satu video yang dirakam selepas kejadian memaparkan bot tenggelam dan sampah-sarap terapung di permukaan air itu tular dalam laman sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi warganet. – UTUSAN