10 sekolah harian jadi perintis projek bola sepak di Pulau Pinang

10 sekolah harian jadi perintis projek bola sepak di Pulau Pinang

DANIEL Gooi Ze Sen (belakang, tengah) bersama wakil daripada 10 buah sekolah yang terpilih sebagai sekolah angkat untuk projek perintis pembangunan bola sepak hasil kerjasama antara SA Deco Mutiara dengan Penang FC di SK Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sebanyak 10 buah sekolah harian dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) terpilih sebagai sekolah perintis untuk satu projek pembangunan bola sepak di Pulau Pinang ketika ini.

Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Said, SK Bertam Indah, SK Seri Gemilang, SK Sungai Puyu, SK Kampung To’ Bedor, SMK Bertam Indah, SMK Gemilang, SMK Permatang Rawa dan SMK Tun Hussein Onn.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Ze Sen berkata, projek tersebut dijalankan hasil kerjasama antara kelab bola sepak negeri, Penang FC dengan sebuah syarikat pembinaan tempatan, SA Mutiara Deco.

Beliau yang juga Pengerusi Penang FC berkata, menerusi projek itu, tiga kategori pasukan telah ditubuhkan iaitu bawah 12, 15 dan 18 tahun membabitkan penyertaan seramai 150 orang murid dan pelajar secara keseluruhannya.

“Ini adalah permulaan dan kita akan perluaskan projek ini ke setiap daerah selepas ini agar lebih banyak bakat baharu dalam sukan ini dapat dicungkil,” katanya selepas merasmikan program Sekolah Angkat-SA Mutiara Deco x Penang FC di SK Sungai Dua, hari ini.

Hadir sama Pengurus SA Mutiara Deco, Adnan Mohd. Farok; Ketua Sub Unit Sukan, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Ramle Abu Bakar; ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail serta beberapa pemain pasukan itu.

Mengulas lanjut, Daniel berkata, semua sekolah di Pulau Pinang berpeluang untuk menyertai projek pembangunan bola sepak itu termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina atau Tamil.

“Ini adalah projek jangka panjang dan sekolah-sekolah yang terpilih pada masa ini juga tidak semestinya akan kekal (dalam projek) jika gagal menunjukkan sebarang peningkatan pada masa depan,” ujar beliau.

Tambah Daniel, projek ini juga agak berbeza kerana ia hanya menyasarkan sekolah harian biasa yang memiliki pelatih muda berbakat besar dalam sukan itu.

Dalam pada itu, Adnan memberitahu, melalui kerjasama antara SA Mutiara Deco dengan Penang FC ini, peserta dari sekolah terpilih berpeluang merasai sendiri pengalaman latihan sebenar, mempelajari teknik serta taktik permainan serta mendalami aspek disiplin dan semangat kesukanan.

“Antara pengisian utama sepanjang program ini berlangsung pula ialah klinik bola sepak, sesi bertemu dan berlatih bersama pasukan Penang FC dan sebagainya,” katanya yang memberitahu, setiap pasukan juga akan menerima satu set jersi sebagai tajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN