Zaliha gagal kendalikan Pemilihan PKR - Rafizi

Zaliha gagal kendalikan pemilihan PKR – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa gagal dalam mengendalikan pemilihan parti itu.

Rafizi berkata, Dr. Zaliha yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) gagal menyelesaikan aduan berhubung dakwaan kepincangan yang wujud di dalam pemilihan peringkat Cabang.

Kata Menteri Ekonomi itu, beliau sejak awal sudah bimbang dengan gelombang orang yang ingin menyertai PKR apabila parti sudah menguasai Putrajaya.

“Kita memang perlu buka ruang kepada orang ramai menyertai PKR, tetapi bukan secara ‘Airbnb’, masuk semasa pemilihan dan kemudian lesap.

“Kalau JPP dan Dr. Zaliha nak marah, marahlah. Tetapi itu tanggungjawab mereka untuk mendengar aduan dan bertindak secara bebas,” katanya dalam siaran langsung audio siar  Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri?

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, JPP perlu lebih teliti dalam menangani bantahan termasuk menyemak kesahihan keahlian calon.

“Bantahan sampai ratusan pun tidak dijawab. Apabila tanya, JPP buat tak tahu. Pengerusi JPP sepatutnya teliti setiap aduan, panggil pihak terlibat, semak bukti dan tapis sebaik mungkin,” katanya.

Utusan Malaysia cuba untuk menghubungi Dr. Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bagi mendapatkan komen balas tetapi panggilan tidak dijawab.

Dalam pada itu, Rafizi turut mengkritik Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang didakwanya gagal memastikan penyaringan keahlian dilakukan dengan berkesan.

“Soal keanggotaan berada di bawah tanggungjawab Setiausaha Agung. Kalau ada ahli parti lain bertanding, itu bidang kuasa beliau. JPP pula perlu bertindak segera apabila menerima aduan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN