KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin bahawa Datin Seri Pamela Ling yang diculik pada 9 April lalu dipercayai masih hidup dan berada dalam negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya percaya wanita berusia 42 tahun yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu masih berada dalam negara ini.
Katanya, setakat ini, tiada pergerakan Pamela dikesan keluar daripada negara melalui saluran yang sah.
“Berdasarkan kepada rekod di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), setakat ini tidak ada pergerakan keluar dan dia dikesan kali terakhir keluar negara pada Januari lalu.
“Namun, kena ingat ada orang keluar melalui saluran yang sah menggunakan pasport, ada orang keluar tidak melalui saluran yang sah.
“Tidak boleh ikutkan beberapa kes, ada orang sudah lama hilang pun hidup lagi, ada orang baru hilang pun sudah mati. Tak tentu, tapi saya yakin dia masih ada lagi (hidup),” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya mendapati terdapat petunjuk baharu berhubung kes kehilangan Pamela namun tidak boleh didedahkan kerana akan menganggu siasatan.
“Kita ada petunjuk baharu dan sedang melakukan usaha mengesan (Pamela) untuk menentukan dia selamat secepat mungkin.
“Ini supaya kita boleh kumpulkan keterangan supaya boleh membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya.
Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah untuk melihat berkaitan isu penceraian Pamela serta suaminya.
“Kita akan tengok tengok penceraian itu isu apa, kalau kita nak fail apa-apa di makahmah mesti ada penyata tuntutan itu biasa dalam bentuk affidavit.
“Mungkin ia membantu siasatan kita sedikit sebanyak (siasatan),” katanya.
Selasa lalu, media melaporkan siasatan polis menjurus kepada penglibatan suaminya dan beberapa individu lain, dengan pasukan khas ditubuhkan bagi meneliti semua sudut termasuk motif serta kemungkinan kaitan dengan kes pengubahan wang haram.
Pamela, isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, dilaporkan hilang selepas menaiki perkhidmatan e-hailing dari Cheras ke pejabat SPRM. Saksi mendakwa kenderaan dinaikinya dihalang tiga kereta dan dia kemudian dibawa pergi oleh individu memakai pakaian polis.- UTUSAN