KUALA LUMPUR: Pelakon, Nazrief Nazri, menegaskan karakter Doktor Zahar lakonannya dalam drama Seribu Tahun bukan bertujuan mempromosilan hubungan sejenis.
Ujar Nazrief atau Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 33, karakter itu diwujudkan bagi memberi kesedaran kepada khalayak bahawa golongan ini juga berjuang melawan nafsu untuk berubah.
“Saya nak tekankan Doktor Zahar bukan mahu promosi gaya hidup homoseksual tapi mahu menunjukkan kepada masyarakat mereka juga bergelut.
“Dari awal sampai akhir penonton drama ini boleh lihat perjuangan Zahar, dia bukan seronok jadi begitu.
“Minggu akhir ini penonton akan tengok setiap hari dia berdoa untuk berubah sebab selepas 13 tahun kahwin pun dia tak mampu menyantuni isteri dia sebagaimana seorang suami.
“Sebab itu adegan dia nampak Fakhrul ada tiga anak, dia cemburu dan mahukan perkara itu juga. Sebab itu dia tulis surat kepada Tuhan, babak itu sangat sedih,” katanya.
Nazrief ditemui Utusan Malaysia di sesi fotografi sempena drama Seribu Tahun di Bukit Jalil, pada Selasa.
Dalam pada itu, Nazrief berharap agar masyarakat tidak mudah menghakimi golongan ini sebaliknya bersama-sama menarik mereka ke jalan agama.
“Golongan ini berjuang, jadi kitalah yang kena bawa mereka dekatkan diri kepada Tuhan.
“Nafsu songsang adalah ujian dan kita sebagai manusia jangan terlalu mudah menghakimi.
“Ada juga saya terima mesej di Instagram daripada individu tidak dikenali mengucapkan terima kasih kerana drama ini seolah menceritakan perjuangan dilaluinya ,” tambahnya.
Sepanjang menjayakan watak Zahar, Nazrief mengakui adakalanya berasa sedikit janggal melakonkan babak mesra bersama Zarif Ghazi namun semuanya dilunaskan secara profesional.
“Dalam skrip Seribu Tahun bukan ada adegan melampaui batas seladae kopek udang dan cubut pipi.
“Cuma ada satu adegan konon mahu bercium itu ada rasa tak selesa tapi saya profesional mahu semua kerja selesai.
“Tiada juga lelaki yang ganggu kerana saya ada sejarah pernah tularkan dan maki sesiapa hantar mesej tidak senonoh. Kedua orang tahu saya ada isteri,” ceritanya.
Mingguan terakhir Drama Seribu Tahun yang bersiaran pada Rabu dan Khamis, 9 malam di Astro Ria. -UTUSAN