IPOH: Setiap penderma perlu memastikan sumbangan mereka untuk menyelamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu diterima oleh pihak yang berwajib.
Akaun yang boleh didermakan ialah akaun masjid atau Surau Diri Jumaat (SDJ) di seluruh Perak.
Pihak masjid dan surau terbabit akan menyalurkan kutipan itu kepada akaun yang telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) atas nama Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan dengan nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad, 08013010091983.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta orang ramai supaya berwaspada kerana mungkin ada yang mengambil kesempatan mengutip derma secara tidak sah.
Beliau menasihati agar setiap penderma memastikan kesahihan pemilik akaun terutama yang menggunakan kod imbas QR.
“Seperti biasa ketika aktiviti menderma untuk Gaza dan badan-badan kebajikan. Ada yang mengambil kesempatan dengan cuba memerangkap penderma.
“Saya harap orang ramai berwaspada, takut apa yang dihajat tidak sampai,” kata dalam majlis pelancaran Inisiatif Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS), di sini hari ini.
Perak melaksanakan kutipan derma solat Jumaat di negeri ini bagi menebus semula tanah masjid tersebut, yang pada awalnya diwakafkan kepada masjid tetapi telah dijual kepada pembeli bukan Islam pada tahun 2012.
Saarani mahu penderma memastikan derma mereka diterima oleh Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu bagi menebus semula tanah tersebut yang bernilai RM1.8 juta,
Pada 5 Mei lalu, JAIPk mengedarkan surat kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat di Perak bertajuk ‘Selamatkan Masjid Jamek Ar Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai’
“Sebagai tanda solidariti umat Islam di Perak, JAIPk menyarankan supaya masjid-masjid dan SDJ menyediakan tabung khas untuk kutipan ini pada 9 dan 16 Mei 2025 (Jumaat),” mengikut surat tersebut.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Perak, Adham Jamalullail Ibrahim berkatan, isu yang dihadapi dalam kes Masjid Jamek Ar Ridzuan membuktikan kepentingan pengurusan harta wakaf agar tidak berlaku pelanggaran kepada niat pewakaf.
“Kami bersedia untuk memberi pandangan perundangan, mewakili pihak berkepentingan termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta pihak pengurusan masjid, surau dan sekolah-sekolah agama rakyat dalam Perak bagi mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu tanah wakaf mengikut lunas undang-undang negara dan negeri,” katanya. – UTUSAN