PETALING JAYA: “Wartawan bukan sekadar penyampai berita sebaliknya mata, telinga dan suara rakyat.”
Itu pengiktirafan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof terhadap pengamal media tanah air sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, hari ini.
Beliau berkata, golongan wartawan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat, mendengar keluhan rakyat serta membentuk kefahaman masyarakat terhadap dasar dan hala tuju negara.
“Wartawan bukan sekadar penyampai berita. Kalian semua adalah mata yang melihat realiti, telinga yang mendengar denyut nadi rakyat dan pena yang mencorakkan pemahaman masyarakat terhadap perkara-perkara penting dan dasar kerajaan.
“Dalam landskap media yang kian mencabar, wartawan yang berpegang kepada prinsip ketelusan, tanggungjawab dan integriti amat dihargai.
“Tanpa usaha kalian, demokrasi tidak akan dapat berfungsi dengan matang dan suara rakyat mungkin tenggelam dalam gelombang maklumat yang mengelirukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fadillah, kerajaan sentiasa mengiktiraf media yang bebas dan bertanggungjawab sebagai rakan strategik dalam membina sebuah negara yang progresif, bersatu dan berdaya tahan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakan media tanah air atas pengorbanan dan amanah yang digalas demi kepentingan rakyat dan negara.
“Selamat Hari Wartawan Nasional 2025. Teruskan menyuara kebenaran. Teruslah menjadi suara rakyat,” katanya. – UTUSAN