Warga emas rugi RM459,000 terpedaya pelaburan palsu

Warga emas rugi RM459,000 terpedaya pelaburan palsu kumpulan Whatsapp

RAUB SELAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang warga emas membuat pelaburan bagi menambah pendapatan lebur apabila wang simpanan berjumlah RM459,000 lesap akibat terpedaya dengan sindiket penipuan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 73 tahun dimaklumkan tentang skim pelaburan itu pada Disember lalu.

Katanya, nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan yang menjanjikan keuntungan sehingga 200 peratus.

“Mangsa yang tertarik dengan pelaburan itu membuat 23 transaksi kewangan ke dalam 10 akaun bank berbeza antara 10 Januari hingga 17 April.

“Pada awalnya mangsa menerima pulangan RM18,360, menyebabkan dia yakin dengan skim itu dan terus membuat pelaburan tambahan berjumlah keseluruhan RM459,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Raub, mangsa bagaimanapun hanya menyedari telah ditipu apabila dia diminta untuk membayar wang pemprosesan sebelum boleh mengeluarkan keuntungan seterusnya.

“Siasatan awal mendapati akaun bank yang dipindahkan wang pernah terlibat dengan kes penipuan sebelum ini.

“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN