JOHOR BAHRU: Seorang warga emas yang juga pemilik sebuah syarikat swasta, kerugian RM1.8 juta setelah terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian palsu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa, lelaki tempatan berusia 66 tahun itu membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut, semalam.
Katanya, mangsa mengetahui tentang pelaburan yang mendakwa mampu memberikan pulangan tinggi dalam waktu singkat itu sejak Oktober tahun lalu.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa menekan pautan diberi bagi mendapatkan maklumat lanjut. Mangsa ditawarkan keuntungan hingga 200 peratus hanya dalam tempoh tiga bulan.
“Percaya dengan tawaran tersebut, mangsa membuat beberapa transaksi kewangan ke beberapa akaun bank berbeza antara November 2024 hingga Januari tahun ini berjumlah RM1.8 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Kumar, mangsa hanya menyedari ditipu apabila selepas tiga bulan masih tiada pemakluman tentang keuntungan daripada pelaburan yang telah dibuat.
“Mangsa juga gagal menghubungi suspek yang terlibat selepas beberapa kali mendesak bagi mendapatkan penjelasan tentang pelaburan dibuat. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN