PASIR PUTEH: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta semasa dipercayai mengubah haluan secara tiba-tiba dalam kejadian di Kilometer 44.5 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran Pondok Polis Gaal, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Tengku Anis, (HTA) selepas satu jam menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Ex-5 datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Pasir Puteh.
Menurutnya, setiba di lokasi, mangsa yang menunggang secara perlahan di bahu jalan telah bertindak mengubah haluan ke kanan.
“Kemudian, sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi hadapan kanan motosikal tersebut. Pelanggaran itu, mengakibatkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan serius sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN