HULU TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap dua beradik perempuan yang merupakan anak jirannya di Kampung Kuala Akob, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, suspek berusia 66 tahun itu dicekup di rumahnya sejurus selepas polis menerima maklumat kira-kira pukul 7.04 malam.
“Suspek yang tinggal bersebelahan rumah dipercayai melakukan perbuatan tidak bermoral itu kepada mangsa yang masing-masing berusia 10 tahun dan 14 tahun. Sewaktu kejadian hanya dua beradik perempuan itu sahaja berada di rumah.
“Sebaik sahaja menerima laporan, polis segera bertindak dan menahan suspek yang bekerja sebagai buruh pada hari sama. Suspek kini direman selama lima hari sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN