PETALING JAYA: Ketua jabatan sektor awam diberi kuasa mempertimbangkan permohonan kakitangannya yang mungkin terkesan akibat kesesakan jalan raya untuk bekerja dari rumah (WFH) sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan, dasar WFH bagi pegawai awam akan diteruskan secara fleksibel tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Katanya, keputusan itu diambil seiring dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan awam.
“Dasar ini diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SR.4.1.2 yang bertujuan mewujudkan keseimbangan antara keperluan agensi dalam memastikan kesinambungan tugas dan keperluan pegawai daripada segi kesejahteraan serta keharmonian kerja-kehidupan.
“Selaras dengan pendekatan ini, ketua jabatan diberi kuasa untuk mempertimbangkan permohonan WFH bagi pegawai yang mungkin terkesan dengan kesesakan aliran sempena pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan berlangsung Mei ini,” katanya.
Menurut JPA, langkah itu merupakan antara inisiatif dalam mengutamakan tadbir urus berdaya tahan dan prihatin.
Katanya, ia selaras dengan nilai-nilai teras Madani seperti kesejahteraan, ihsan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
“Pegawai awam yang layak disaran berhubung dengan ketua jabatan masing-masing untuk pertimbangan sewajarnya. Pelaksanaan dasar ini hendaklah berpandukan tata cara dan syarat yang telah digariskan dalam MyPPSM,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan pelaksanaan WFH dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei dan Oktober ini akan dibawa kepada perhatian Kabinet.
Cadangan itu timbul berikutan kesulitan dan kekangan dihadapi rakyat, khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terkesan akibat penutupan jalan ketika Lawatan Negara oleh Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN yang dijangka turut dihadiri oleh pimpinan tertinggi China dan Kerjasama Negara Teluk (GCC) bermula 26 hingga 29 Mei ini. – UTUSAN