Wany Hasrita di era galau, AJL bukan target utama - Utusan Malaysia

Wany Hasrita di era galau, AJL bukan target utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali dalam sejarah kerjaya seorang Wany Hasrita, penyanyi itu diberi kesempatan bekerjasama dengan bakat negara seberang dan merakamkan lagu terbaharu di Jakarta, Indonesia. Bagi yang mengikuti diskografi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, single terbaharu Jahat sangat berbeza, seolah menjelmakan sisi lain seorang Wany.

Daripada lagu leman Menahan Rindu, moden tradisional Canggung, pop Raya Telah Tiba, Wany memasuki era baharu dengan lagu pop balada dalam nuansa kegalauan yang sedang mendominasi ‘trend’ di aplikasi TikTok bertajuk, Jahat.

Ujar Wany atau Nurshazwany Hasrita binti Hasbullah, 32, dengan kematangan sebagai penyanyi, dirinya lebih berani mencuba lebih banyak gaya dan genre lagu berbeza.

Melihat kepada lagu-lagu galau yang diminati golongan muda, Wany berharap penerbitan Jahat akan dapat meluaskan popularitinya khususnya kepada generasi TikTok walaupun lagu ini tidak melayakkannya ke Anugerah Juara Lagu.

“Saya sedang berusaha untuk membesarkan pengaruh muzik di hati anak-anak muda. Peminat saya sejak 2017 kebanyakannya sudah berkahwin, jadi saya perlukan pembaharuan untuk mendapat pendengar yang baru.

“Sekarang ini pun saya turun untuk buat persembahan di universiti bagi mendekatkan diri dengan anak muda. Saya sampaikan Jahat dari hari dan berharap alangkah bagusnya lagu indah ini menyentuh pendengar baru,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tidak pernah berada dalam hubungan toksik, Wany bagaimanapun membayangkan perasaan seorang wanita yang terperangkap dalam hidup yang menyiksakan. Perkara itu membuatkan Wany menghayati setiap bait kata sehingga mengalirkan air mata selepas proses rakaman.

“Saya dengar sahaja melodi ini, saya terus mahu lakukannya. Tidak berfikir lama.

“Saya ambil masa mendalami lirik dan menggali setiap bait penceritaan lagu ini. Saya tidak nyanyi berdasarkan pengalaman sendiri sebaliknya menyelami makna lagu ini untuk mendapatkan ‘roh’ semasa rakaman.

“Mungkin sebab saya rasakan ini kali pertama saya membawakan lagu yang mempunyai melodi seberat ini. Jujurnya, perasaan saya ketika sesi rakaman bercampur baur.

“Saya menangis teruk selepas rakaman. Malah, ketika menyanyikan lagu ini pun saya sebak,” ceritanya.

Sibuk ke sana ke sini hampir setiap hari, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular ke-31 ini mengakui sering rasa bersalah tidak dapat meluangkan banyak masa bersama anak perempuannya Aishah Al Iman.

Tambahan pula, suaminya Mohd Al-Adib Fahmi tinggal berjauhan. Setiap kali ada masa terluang, pasti dia akan pulang ke Sarawak untuk keluarga kecilnya berkumpul.

“Bila ada ruang dan masa, saya balik Sarawak. Itu memang rutin saya.

“Tak semestinya aktiviti besar pun. Jalan-jalan pun cukup. Kawasan rumah suami saya luas, ada rumput. Suami suka grounding bersama anak dan saya pun ikut. Itu waktu tenang kami.

“Setiap kali solat, saya doa agar Allah bagi jalan yang baik. Rezeki pekerjaan, ruang untuk tinggal bersama.

“Semua itu saya mohon supaya dapat hidup sebumbung dengan suami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN