TANAH MERAH: Taktik licik seorang wanita warganegara Thailand menyeludup petrol bersubsidi menggunakan kenderaan mewah Toyota Camry terbongkar selepas ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kelmarin.
Wanita berusia 52 tahun itu ditahan kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya di Bukit Bunga di sini pada pukul 3.30 petang.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, semasa menjalankan rondaan rutin anggota penguat kuasa telah melihat sebuah kereta jenis Toyota Camry berada dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran anggota KPDN Kelantan, wanita yang memandu kereta berkenaan cuba melarikan diri namun gagal.
“Pemeriksaan lanjut mendapati wanita berkenaan cuba membawa keluar petrol bersubsidi ke Thailand. Hasil soal siasat, suspek mengaku telah membuat pengisian sebanyak dua kali pada hari yang sama dengan jumlah keseluruhan dianggarkan hampir 117 liter,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, pemeriksaan lanjut turut menjumpai 45 liter bahan bakar itu dalam tangki ubah suai.
Katanya, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Suspek mengaku petrol yang diperoleh itu akan dijual secara borong kepada ejen tempatan di sempadan Thailand.
“Bahan bakar itu kemudian akan dijual semula secara runcit kepada pengguna di negara jiran,” ujarnya.
Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 10 akta yang sama.-UTUSAN