PETALING JAYA: Seorang wanita sempat meminta bantuan pernafasan selepas tercampak keluar dari sebuah van yang sedang bergerak di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, petang tadi.
Saksi, Faizan Ahmad, 34, berkata, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan untuk ke pejabatnya sebelum kereta di hadapan brek mengejut.
“Kemudian saya nampak wanita itu telah bergolek di atas jalan raya. Selepas kejadian itu, saya dan orang ramai lain turun dari kenderaan untuk lihat.
“Ketika itu wanita berkenaan masih hidup dan dia meminta kami di lokasi untuk memberikan bantuan pernafasan. Saya terus buat panggilan kecemasan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Tambahnya, terdapat pengguna jalan raya yang berikan bantuan pernafasan kepada wanita itu sebelum meninggal dunia sewaktu ambulans tiba.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.58 petang berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya itu, mangsa yang berasal dari Menglembu, Ipoh disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Difahamkan, sebelum kejadian itu, berlaku pertengkaran antara mangsa berusia 44 tahun itu dengan seorang lelaki dipercayai suaminya di dalam van tersebut.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang mendakwa menyaksikan kejadian tersebut secara langsung.
“Pengadu memaklumkan melihat seorang wanita tercampak keluar dari sebuah van yang sedang bergerak dan kenderaan tersebut kemudiannya memecut melarikan diri dari tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti kenderaan terlibat serta motif kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat daripada pihak PPUKM.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-9284 5050 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-UTUSAN