KUALA LUMPUR: Wanita PKR Cabang Semporna menyokong penuh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diberi laluan mudah untuk memegang jawatan Timbalan Presiden PKR.
Dalam kenyataan bersama, Timbalan Ketua Wanita, Melati Hasaman dan Naibnya, Rosalina Mustafa berkata, sudah tiba masanya pemimpin itu diberikan ruang untuk memegang jawatan lebih tinggi, sesuai dengan pengalaman dan komitment beliau dalam parti.
“Sudah tiba masanya Saifuddin yang cukup berjasa kepada parti diberi mandat untuk mengalas amanah memimpin PKR bersama Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Umum mengetahui Saifuddin merupakan antara orang kepercayaan Presiden dan beliau sering diberi tugas serta peranan penting dalam apa juga situasi bagi membantu kepimpinan parti,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Wanita Cabang Semporna berpandangan kecemerlangan Saifuddin sebagai Setiausaha Agung PKR, Menteri Kanan sewajarnya diberi laluan mudah untuk menduduki kerusi nombor dua itu.
“Parti memerlukan seorang gadingan kepada Presiden yang memahami aspirasi akar umbi, mesra rakyat dan tidak sombong.
“Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli bercuti panjang ketika mana negara berada dalam situasai mencabar memberi kesan kepada rakyat.
“Apatah lagi Rafizi yang memimpin Menteri Ekonomi merupakan satu portfolio agak mencabar menyukarkannya untuk memberi tumpuan kepada urusan parti,” katanya. – UTUSAN