JOHOR BAHRU: Wanita PKR digesa sentiasa memperjuangkan setiap persiapan dan dasar susulan jangkaan negara menuju ke arah negara menua menjelang tahun 2030.
Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, sayap parti itu perlu melihat dengan teliti Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen, Julai ini.
“Ini kerana negara menuju negara menua pada 2030 jadi kita perlu dipersiapkan juga susulan kalangan ahli Wanita PKR juga mencapai usia berkenaan.
“Sebagai parti, PKR tidak boleh terasing daripada dasar dan polisi negara, apatah lagi ia menjadi hasrat serta aspirasi parti untuk mendukung semua golongan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Wanita PKR 2025 di sini hari ini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, golongan warga emas juga perlu diberi tumpuan khusus sebagai mempersiapkan dasar dan polisi menyokong keperluan mereka.
“Mereka ini sebenarnya warga yang sangat aktif. Mereka juga aktif dalam parti atau pelbagai aktiviti dan persiapan perlu dilakukan kita bagi memastikan keperluan khusus untuk mereka dapat dipersiapkan apabila usia semakin meningkat,” katanya.
Katanya, Wanita PKR sebelum ini sudah memberi pandangan secara kritis terhadap keperluan RUU berkenaan yang disifatkan sangat penting, ketika ini.
“RUU ini akan melahirkan pekerja sosial lebih terlatih, profesional dan benar-benar efektif dalam membantu golongan masyarakat menua terutama dalam menyediakan caregiver (penjaga),” katanya.-UTUSAN