Wanita maut terjatuh dari bangunan parkir pusat beli-belah

Wanita maut terjatuh dari bangunan parkir pusat beli-belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang wanita berusia 29 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan parkir di pusat beli-belah terkenal di Bayan Lepas di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa dijumpai tidak sedarkan diri di satu laluan berhampiran ‘loading bay’ pusat beli-belah berkenaan kira-kira pukul 12.47 tengah hari sebelum orang awam bertindak menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai jatuh dari tingkat tujuh kawasan tempat letak kereta bahagian selatan pusat beli-belah terbabit.

Beliau berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima daripada seorang anggota polis bantuan di pusat beli-belah tersebut sebelum seorang anggota dari balai polis terdekat bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Mangsa juga dikatakan meninggalkan barangan peribadinya dalam sebuah kenderaan jenis Honda City di kawasan tempat letak kereta sebelum kejadian berlaku,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian berkenaan apabila terdapat rakan mangsa yang memohon saksi kejadian atau mereka yang mempunyai rakaman mengenai kejadian tampil bagi membantu siasatan kes itu.

Dalam pada itu, Sazalee berkata, saksi awal kejadian yang juga seorang pekerja pasar raya berhampiran memberitahu terlihat mangsa terjatuh dari atas bangunan pada pukul 12.44 tengah hari.

“Difahamkan, mangsa keluar dari rumah pada pukul 9 pagi dan kali terakhir berhubung dengan ahli keluarga pada pukul 12 tengah hari bagi memaklumkan ingin membeli makanan,” katanya.

Tambah Sazalee, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan pelbagai yang konsisten dengan terjatuh dari tempat tinggi.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun, siasatan lanjut masih diteruskan buat masa ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya