PETALING JAYA : Kehilangan seorang wanita ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu diklasifikasi sebagai kes culik.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan kehilangan wanita itu dibuat di Balai Presint 7, Putrajaya pada pukul 3.02 petang.
Beliau berkata, wanita dijadualkan hadir di pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan berkaitan siasatan pihak agensi itu pada hari sama namun tidak hadir.
“Ketidakhadiran mangsa telah disahkan oleh pihak SPRM.
“Siasatan telah dibuka berkaitan kejadian ini di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Kata Mohd Rusdi, mangsa telah beberapa kali hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang disiasat Suruhanjaya itu.
“Satu laporan polis juga telah dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan berkaitan kehilangan mangsa.
“Percakapan beberapa orang saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa juga telah dirakamkan bagi membantu siasatan ini,” jelasnya.
Difahamkan, siasatan yang dilakukan SPRM adalah berkaitan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).