JOHOR BAHRU: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan kanak-kanak dan remaja warga Filipina di Kawasan Industri Senai Airport City, tahun lalu.
Tertuduh, Haliza Palok, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok@Embok Mok.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Haliza didakwa memperdagangkan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara 10 hingga 12 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun dengan mengeksploitasi mereka bagi aktiviti yang menyalahi undang-undang di Jalan Kargo 2, Senai Airport City pada pukul 6.54 petang, 19 Disember 2024.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaa kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen, Tan Yen Thung, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amarpreet Singh Rajwinder Singh.
Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat tambahan, iaitu melaporkan diri di Pejabat Imigresen Johor setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan yang dipercayai warga Filipina.
Namun, Amarpreet Singh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya tidak tahu akan dituduh hari ini dan dia serta suaminya tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke Pejabat Imigresen Johor sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.-UTUSAN