LUMUT: Seorang wanita warga emas cedera apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh sebuah premis restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, dekat sini hari ini.
Akibat rempuhan itu, wanita berusia 70an itu terperosok di bawah SUV tersebut sebelum dikeluarkan oleh orang ramai.
Rempuhan tersebut turut memusnahkan dinding kaca restoran itu yang terletak di kawasan simpang empat bandar Sitiawan.
Difahamkan, seorang kanak-kanak perempuan turut cedera dalam kejadian kira-kira pukul 9.08 malam itu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.09 malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung diketuai Pegawai Bomba Kanan II Lutfe Abdul Rahman bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketua Operasi melaksanakan ‘size-up’ seterusnya mengarahkan anggota membantu pihak perubatan membuat rawatan awal seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, operasi terkawal pada pukul 9.30 malam dan tamat sepenuhnya pada pukul 9.49 malam. – UTUSAN