JOHOR BAHRU: Ketiadaan wakil Barisan Nasional (BN) semasa Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini tidak mengundang kecil hati Ketua AMK Adam Adli Abd. Halim.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu memberitahu, jemputan telah dihantar namun tiada maklum balas diterima.
“Ya, kita sudah keluarkan surat jemputan tetapi mereka tidak hadir. Kita juga sudah jemput Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk rasmikan kongres, tetapi mereka tidak dapat penuhi jemputan.
“Perasaan biasa sahaja, tiada rasa kecil hati atau apa-apa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kongres tersebut di sini hari ini.
Beliau yakin usaha perdamaian akan dibuat melibatkan semua pihak yang bertelagah, khususnya dalam kempen pemilihan kali ini.
“Semua pihak yang terlibat dalam pemilihan ini adalah individu yang taat dan setia pada parti, mereka bertelagah kerana masing-masing setia.
“Perpecahan hanya berlaku sekiranya tiada usaha reconciliation. Sewaktu pemilihan memang keadaan agak tegang dan runcing.
“Jadi, paling mustahak selepas pertembungan adalah tautkan kembali hubungan,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya,, Adam Adli meminta semua ahli PKR mewujudkan semangat asabiyah dalam membina kekuatan politik dalaman.
“Dalam memahami soal pembinaan asabiyah, kita harus keluar daripada pemahaman kerangka sempit yang sering difahami umum.
“Ini bukan assabiyah atau kronisme dalam pentadbiran. Sebaliknya, ia adalah dengan kebijaksanaan, iaitu mewujudkan semangat setia kawan, perpaduan dan kesatuan yang utuh seperti yang diteorikan oleh Ibnu Khaldun,” katanya.-UTUSAN