Wajah 'makan filem' Rosnani Jamil - Utusan Malaysia

Wajah ‘makan filem’ Rosnani Jamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK ROSNANI Jamil merupakan nama yang cukup gah dalam dunia perfileman negara. 

Beliau adalah anak seni bertaraf legenda yang pada hari ini menjadi antara saksi hidup zaman perfileman Studio Jalan Ampas yang gemilang satu ketika dahulu.

Tahun ini, usia seniwati ini bakal menginjak kepada 90 tahun. Akan tetapi, ingatan beliau masih tajam sehingga beliau mampu menceritakan secara terperinci pengalaman hidupnya, dari dulu sehinggalah sekarang.

Sempena pertemuan dengan figura yang mesra disapa sebagai Mak Nani baru-baru ini, beliau berkongsi banyak cerita dan kenangan, antaranya pengalaman berlakon bersama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Rosnani dan P. Ramlee, antara tahun 1952 hingga 1954, merupakan antara pasangan paling serasi dan ideal yang digandingkan dalam layar perak. 

“Sedarah adalah filem pertama kami berdua digandingkan. Saya perlu menghadiri uji bakat untuk watak Asiah. 

“P. Ramlee pernah berkata kepada saya yang saya tak perlu khuatir kerana wajah saya ini katanya ‘makan filem’. Ketika itu saya tidak faham maksud beliau. Rupa-rupanya, P. Ramlee kata wajah saya ini ‘photogenic’.

“Saya dan Allahyarham serasi. Gabungan kami dalam layar perak sentiasa menjadi dengan filem-filem gandingan kami pecah panggung. Tiga tahun kami menjadi pasangan pelakon yang ‘menjadi’,” kongsinya

Kongsi Rosnani, beliau, sebelum terjun ke dalam bidang lakonan, bekerja sebagai penari joget di sebuah kelab yang dinamakan Happy World.

“Di Indonesia, seni merupakan salah satu mata pelajaran yang diajar di sekolah. Saya sejak remaja memang aktif berkecimpung dalam bidang seni dan kebudayaan sebagai penari dan penyanyi. Malah saya pernah menyertai kumpulan seni untuk menghiburkan orang Jepun.

“Kemudian, selepas berhijrah ke Singapura ketika zaman perang dunia ke-2, saya bekerja sebagai pelayan kedai kopi dan penari joget.

“Dulu, ramai bintang filem yang bermula sebagai penari joget sebelum menjadi pelakon. 

“Saya pula ketika itu pandai membaca skrip, maka diterima melakonkan watak utama, seorang penari dan pisau cukur dalam filem Lupa Daratan Tan Sri L. krishnan,” ceritanya.

MAK MUNAH

Disoal tentang karakter yang paling memberi impak, Rosnani memaklumkan watak Mak Munah dalam filem Jasmin pada tahun 1984 antara yang paling memberi kesan kepada kerjaya lakonannya.

Filem arahan Datuk Jamil Sulong itulah yang mengangkat Rosnani sebagai Pelakon Terbaik sempena Anugerah Filem Asia Pasifik yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

“Filem ini berdasarkan kisah konflik kehidupan Natrah yang pernah mencipta sensasi satu masa lalu. Saya mendapati skripnya sangat cantik sehingga membuatkan saya menitiskan air mata ketika membacanya. 

“Saya memaklumkan  kepada suami dan juga pengarah filem itu, Jamil Sulong bahawa saya mahu jadi antara pelakonnya. 

“Suami nasihatkan saya berjumpa dengan penulisnya, Kamarul Ariffin. Saya merayu kepada Kamarul meskipun pada awalnya beliau merasakan saya tidak sesuai membawa watak Mak Munah disebabkan perbezaan usia. 

“Ketika diminta uji bakat, saya buat sepenuh hati. Saya hadir dengan lengkap bersolek, membawa selendang dan pakaian yang menggambarkan Mak Munah. Alhamdulillah, saya diterima menjadi pelakon bagi watak itu meskipun terpaksa bersaing dengan ramai pelakon lain pada ketika itu. Saya amat sayangkan skrip filem Jasmin ini sampaikan ketika sedang masak pun saya membacanya,” ujar Rosnani.

KECAMAN MASYARAKAT

Lebih tujuh dekad bergelar anak seni, tentunya perjalanan karier Rosnani tidak semuanya indah.

Malah aktres hebat ini juga pernah beberapa kali berdepan kontroversi yang mengundang kecaman dan kebencian masyarakat terhadapnya.

Antara yang paling berat dipikul Rosnani adalah kontroversi yang berpunca daripada babak romantis bersama pelakon, Yusof Latiff menerusi filem Cemburu.

“Masa itu, badan penapisan filem tidaklah setegas hari ini. Jadi babak romantis berpelukan antara saya dengan Yusof dipertontonkan dalam filem itu. 

“Disebabkan babak itu kami teruk dikecam masyarakat. Saya masih ingat lagi seorang ilmuan agama, ustaz Daud namanya yang antara paling lantang mengkritik filem itu,” kongsinya.

Rosnani juga pernah menjadi kecaman masyarakat kerana filem arahannya, Mewar Merah yang dilakonkan Raja Ema dan Mustaffa Noor pada tahun 1987 mencipta kontroversi gara-gara babak pelakon berpakaian mandi.

“Saya masa itu terpaksa menghadap badan penapisan filem untuk memberi penjelasan. Alasan saya, watak Raja Ema itu bukan orang Malaysia, tetapi Indonesia. 

“Filem itu akhirnya dibenar tayang.  Pada pandangan saya, kita patut terima kalau babak-babak panas ini dipotong kerana ia bercanggah dengan agama Islam. Ada cara lain untuk buat babak romantis  tanpa perlu melanggar hukum agama,” jelasnya.

PANGGUNG WAYANG DI KELANTAN

Mungkin ramai yang tidak tahu satu ketika dahulu Rosnani, sekitar penghujung era 80-an pernah membangunkan sebuah panggung wayang di Kelantan.

Namun, panggung wayang tersebut ditutup tidak lama selepas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil alih kepimpinan negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada tahun 1990.

“Saya agak kecewa kerana filem Mawar Merah tidak dapat ditayangkan di Kelantan disebabkan ketiadaan panggung wayang di negeri itu. Justeru, saya gunakan sejumlah daripada hasil kutipan filem tersebut untuk membangunkan sebuah panggung wayang di negeri itu.

“Namun selepas dua tahun beroperasi, panggung wayang itu diarah tutup oleh kerajaan PAS yang ketika itu baru mengambil alih kepimpinan di Kelantan.

“Bagaimanapun rayuan saya agar panggung wayang itu diteruskan diterima kerajaan negeri dengan syarat penonton lelaki dan perempuan dipisahkan selain lampu panggung perlu dinyalakan sepanjang tayangan filem. 

“Akhirnya panggung wayang itu terpaksa juga ditutup kerana mengalami kerugian akibat ketiadaan penonton,” ceritanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN