Video anak gajah mati dilanggar lori di Gerik undang sebak

Video anak gajah mati dilanggar lori di Gerik undang sebak

RAKAMAN tular seekor gajah betina berada di sebelah lori yang melanggar seekor anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Rakaman video memaparkan seekor gajah betina setia berada di sebelah lori yang dipercayai melanggar mati anaknya di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini hari ini, mengundang reaksi sebak orang ramai.

Video satu minit 11 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan kemalangan membabitkan lori muatan ayam di mana seekor anak gajah terperosok di bawah kenderaan tersebut.

Difahamkan, nahas yang berlaku sekitar pukul 2 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Seorang pengguna media sosial dengan nama akaun Awie Azim berkata, pengguna jalan raya perlu memandu dengan berhati-hati ketika menggunakan laluan di kawasan berkenaan.

“Tolong bawa dengan cermat di laluan ini, mereka juga ada hak untuk di lindungi,” katanya.

Menurut Nor Hayati Abu Hassan, tindakan ibu gajah yang setia berada di sebelah lori itu diumpamakan sebagai kasih sayang seorang ibu.

“Itulah hati sorang ibu. Walaupun dia binatang tapi hati ibu tetap sama seperti manusia. Sabar Jah semoga dipertemukan semula anakmu di syurga nanti. Aamiin Ya Rabbal Alamin,” ujarnya.

Bagi Adraa Suma, tindakan gajah betina yang tidak bergerak dari lokasi kejadian amat meruntun hati.

“Ya Allah, sedih nya. Betapa sayang ibu gajah kepada anaknya, sedih tak mampu nak bergerak dah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.30 pagi.

Katanya, kejadian membabitkan seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun yang mati selepas dipercayai dilanggar sebuah lori ketika melintas jalan.

“Kakitangan Perhilitan telah ke lokasi kejadian bagi membuat pemantauan. Operasi sedang dijalankan bagi menangkap ibu gajah terlebih dahulu untuk dialihkan dari lokasi kejadian.

“Karkas anak gajah yang dibawa keluar dari bawah lori itu akan dilupuskan dengan kaedah tanam,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood memaklumkan, siaran media bagi kes kemalangan tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN