KUALA LUMPUR: Seorang warga China dibayar antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk menjadi operator pusat judi di sebuah premis di Jalan Tun Razak di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, bayaran itu diperolehi warga China terbabit berdasarkan dokumen slip gaji April lalu yang dirampas pihak berkuasa dalam serbuan ke atas sindiket perjudian berkenaan, semalam.
Dalam serbuan itu, seramai 30 individu termasuk warga China terbabit ditahan dengan sindiket perjudian berkenaan dipercayai menyasarkan warga asing terutama dari China.
“Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada pasaran mereka hanya luar negara atau turut menyasarkan pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, hari ini.
Anuar berkata, pemilik yang menyewakan premis kepada sindiket itu sudah dikenal pasti dan keterangan beberapa individu telah diambil.
“Sekiranya pemilik premis itu tidak mahu memberi kerjasama, kita tidak akan teragak-agak untuk menahannya. Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti jenayah,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua suspek terdiri daripada 23 lelaki dan enam wanita tempatan serta seorang warga China, berumur lingkungan 20 hingga 27 tahun, ditahan selepas bertindak sebagai pekerja di pusat panggilan sindiket perjudian terbabit.
Beliau berkata, mereka dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk proses dokumentasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN