'Undang-undang sedia ada sudah cukup hukum pemilik syarikat lori'

‘Undang-undang sedia ada sudah cukup hukum pemilik syarikat lori’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan undang-undang sedia ada mencukupi bagi menghukum mana-mana pemilik syarikat dan kenderaan yang cuai sehingga terbabit kemalangan.

Beliau menegaskan, setiap insiden kemalangan tidak hanya mengambil kira siasatan terhadap kecuaian pemandu sahaja sebaliknya pemilik kenderaan itu.

“Undang-undang sedia ada ketika ini mencukupi untuk menyiasat pemilik kenderaan dan tuan punya syarikat berkenaan.

“Cuma pelaksanaannya (undang-undang) sahaja dan ia mesti dikuatkuasakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desakan orang ramai supaya pemilik dan syarikat lori yang terbabit dalam insiden maut sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Selasa lalu turut dihukum sama mengikut undang-undang.

Ahmad Zahid berkata, beliau difahamkan, siasatan kes itu kini sedang disiasat dan diteliti oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelasnya lagi, siasatan mengenai elemen kecuaian dan keselamatan kenderaan pula dikendalikan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN