PETALING JAYA: Tuduhan bahawa UMNO kini mempersuci DAP merupakan satu naratif yang bukan sahaja tidak berasas, tetapi sangat ironi apabila datang daripada seorang yang pernah menjadi sahabat karib kepada parti itu suatu ketika dahulu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, sejarah tidak mudah padam begitu sahaja bagaimana Pas ketika berada dalam Pakatan Rakyat, bukan sahaja menyokong calon DAP di kawasan majoriti Melayu malah mengeluarkan arahan kepada ahli mereka mengundi parti itu atas nama tahaluf siyasi.
Sebaliknya kata beliau, UMNO tidak pernah berselindung dalam menyuarakan pendirian tegas terhadap mana-mana tindakan yang menyinggung sensitiviti umat Islam khususnya membabitkan beberapa isu.
“Jadi apabila tuduhan bahawa UMNO mempersuci DAP adalah hanya gerakan politik yang penuh sandiwara dan kelihatan Pas semakin hilang modal. UMNO tahu membezakan antara kerjasama politik demi kestabilan negara ataupun memilih tunduk membuta tuli kepada rakan politik. UMNO tetap berpegang pada prinsip.
“Sejak bersama dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO tidak mensia-siakan mandat yang diberikan. Kami memanfaatkannya untuk membela nasib bangsa dan agama secara konkrit, bukan sekadar retorik di pentas ceramah dan mencari populariti murahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah hasil kejayaan UMNO menubuhkan `UMDAP’ yang mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka.
Menurut Mohd. Razlan, pelbagai dasar telah diperkenalkan termasuk dasar TVET yang membuka peluang kedua kepada anak muda Melayu, Dasar Tahfiz Negara 2.0 untuk melahirkan generasi profesional huffaz serta pembiayaan RM800 juta kepada usahawan Bumiputera melalui MARA dan PUNB.
“Malah, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM2 bilion untuk hal ehwal Islam, termasuk RM150 juta khusus kepada Sekolah Agama Rakyat dan institusi tahfiz. Ini semua hasil daripada kehadiran UMNO dalam kerajaan satu hakikat yang tak dapat nafikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Razlan berkata, Abdul Hadi lebih memilih retorik berbanding fakta apabila mendakwa mendakwa majoriti Melayu telah menolak UMNO di Ayer Kuning.
“Jika kita meneliti data, di PDM Kampung Batu Mesjid yang mempunyai 96 peratus pengundi Melayu, undi Pas dan PN telah merosot daripada 345 undi pada PRU15 kepada 292 dalam PRK baru-baru ini.
“Sebaliknya, UMNO diwakili BN telah meningkat daripada 323 kepada 384 undi peningkatan dari segi angka dan peratusan. Malah tiga PDM yang sebelum ini dimenangi PAS kini berjaya dirampas kembali oleh UMNO. Apa maknanya ini, jika bukan tanda jelas bahawa sokongan orang Melayu terhadap Pas semakin merosot?,” soalnya.
Katanya, Abdul Hadi sebagai pemimpin lama politik seharusnya menunjukkan akhlak dan tauladan yang lebih baik.
“Hadi sepatutnya tahu serangan peribadi dan politik kebencian bukan lagi kaedah yang diterima rakyat. Sudah tiba masanya Pas sekali lagi bermuhasabah mengapa pengundi Melayu kian menjauh dan mengapa retorik Islam yang dibawa semakin tidak dipercayai.
“Ini sekali gus membuktikan bahawa naratif ‘UMNO-DAP’ yang dicanang oleh Hadi dan konco-konconya hanyalah retorik kosong yang gagal meresap ke dalam minda dan sanubari rakyat Ayer Kuning,” katanya. – UTUSAN