‘UMNO saja bubar, masuk bersatu’

‘UMNO saja bubar, masuk bersatu’

MUHYIDDIN Yassin pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pejabat Penyelaras Bersatu DUN Jeram Padang dan Majlis Mesra Aidilfitri Bersatu Bahagian Jempol di Bahau, Jempol hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain setakat ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang bentuk kerjasama perlu melalui perbincangan di peringkat biro politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti sebelum dimuktamadkan.

“Terdapat isu kompleks dan perkara itu (kerjasama) tidak semudah difikirkan. Ia melibatkan pelbagai pertimbangan strategik dan prinsip perjuangan parti. 

“Walaupun secara asas mungkin ada persamaan daripada sudut aspirasi dan tidak bertentangan dasar utama yang kita perjuangkan. 

“Saya tidak mahu buat satu kenyataan, orang kata begitu sahaja., kita akan putus dan bincang dengan biro politik dan MPT pusat, ” katanya pada Majlis Perasmian Pejabat Penyelaras Bersatu DUN Jeram Padang dan Majlis Mesra Aidilfitri Bersatu Bahagian Jempol di Bahau hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dilaporkan berkata, parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-dua parti berkongsi asas ideologi yang sama.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam itu berkata, terdapat dasar dan Perlembagaan yang dijadikan asas pertimbangan sebelum apa-apa keputusan dibuat

“Kalau ada pun rakan-rakan saya dalam Bersatu, (berkenaan kerjasama dengan UMNO) itu pandangan mereka secara peribadi bukannya di peringkat parti,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan beberapa pihak agar Bersatu dibubarkan dan menyertai UMNO, beliau menegaskan, tiada keperluan parti dibubarkan. 

Menurut Muhyiddin, Bersatu ditubuhkan atas prinsip yang jelas dan parti itu kekal teguh dengan pendirian asal, termasuk menolak kerjasama dengan DAP.

“Kita hadir atas prinsip yang saya fikir betul dan saya tidak mengorbankan prinsip asas kita untuk tidak bekerjasama dengan DAP. Soalan saya pula, kenapa UMNO saja tidak dibubarkan dan masuk Bersatu,” katanya.

Ujar Muhyiddin, Bersatu akan kekal sebagai parti tonggak dalam PN dan beliau gembira dengan sokongan yang diterima daripada ramai bekas Ahli Parlimen BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN