KOTA TINGGI: UMNO sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mempunyai tempoh sehingga Mac 2027 untuk mengadakan PRN.
Beliau menyifatkan jangkaan beberapa pihak bahawa PRN Johor akan diadakan tahun depan hanyalah sekadar andaian.
“Saya ingat parti politik ini selalu buat jangkaan-jangkaan, yang penting bagi kita ialah kita sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja kemungkinan.
“Pokoknya bagi Johor, akhir yang perlu dan mesti dibuat pilihan raya kalau ikut penggal yang saya ingat sehingga Mac 2027.
“Jadi, maknanya memanglah, setiap hari itu akan makin dekat-makin dekat. Jadi, jangkaan adalah jangkaan. Seperti yang saya kata, kita (UMNO) sentiasa dalam keadaan bersedia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran JanaVeteran di Ladang Telok Sengat, dekat sini hari ini.
Mohamed Khaled mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menjangkakan PRN Johor boleh berlaku seawal-awalnya awal tahun depan.
Pada masa ini, Johor ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor 2022. – UTUSAN