PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi terkenal, Datin Seri Umie Aida tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelakon tersohor, Datuk Rosyam Nor, berhubung satu babak dalam drama bersiri Keluarga Itu yang disiarkan di TV3.
Permohonan maaf tersebut disampaikan oleh Umie atau nama sebenarnya, Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya semalam.
Di dalam video berkenaan, Umie memohon maaf kepada Rosyam sekiranya terdapat keterlanjuran ketika melakonkan watak Chempaka, terutama dalam satu babak yang memperlihatkan dirinya menendang muka dan kepala pelakon itu.
“Abang, Umie nak minta maaf sangat. Umie tahu abang yang suruh saya buat babak itu, tetapi memang berat untuk Umie lakonkan.
“Saya nak minta maaf sangat-sangat, terutamanya kepada keluarga abang, anak-anak dan cucu-cucu abang.
“Saya tak pernah buat macam itu dekat orang lain, saya harap abang faham ini hanya untuk menjayakan watak,” katanya.
Difahamkan, babak berkenaan dilakukan untuk menunjukkan kemarahan watak Chempaka terhadap suaminya yang merogol anak kandung mereka, seperti yang digambarkan dalam jalan cerita Keluarga Itu.
Dalam pada itu, Umie turut menzahirkan rasa hormat yang tidak pernah pudar terhadap Rosyam meskipun hubungan mereka dilihat akrab dan sering bergurau.
“Gurau, gurau juga… tetapi rasa hormat saya pada abang Rosyam tetap ada. Dia seorang pelakon hebat, abang yang penyayang dan mulut memang tak ada insurans,” ujarnya berseloroh.
Sementara itu, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, menyambut baik permohonan maaf tersebut dan memahami ia sebahagian daripada komitmen seorang pelakon.
“Tak apa Umie, itu kerja. Abang pun tak pernah bagi pelakon lain buat abang macam itu. Tapi dengan Umie, abang okay sahaja.
“Umie pun dah lama berlakon dengan abang, dah macam adik sendiri. Abang faham, untuk watak itu memang perlu penghayatan,” katanya.
Drama Keluarga Itu kini mencetus fenomena tersendiri apabila berani menampilkan isu sumbang mahram menerusi garapan penulis skrip dan pengarah tersohor, Erma Fatima.
Drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fattah Amin, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Izara Aishah dan Muaz Zabir dan disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 9 malam di TV3. – UTUSAN