SATU perkara yang membuatkan saya berfikir agak lama adalah bagaimana francais ‘Final Destination’ boleh bertahan lama sehingga memasuki filem keenam ‘Bloodlines’ sejak kali pertama pengenalannya pada 2000?
Premisnya sama, bagaimana kematian dijelmakan sebagai sebuah enigma, perasaan tidak pasti, tidak dapat dilihat tapi dengan rakus mengejar mangsanya. Ia menuntut nyawa dengan cara paling ngeri seolah-olah jika kita masih bernafas adalah kesilapan, dendam dan sumpahan paling celaka.
Bloodlines kali ini diamanahkan kepada dua pengarah genre seram dan sains fiksyen popular, Zach Lipovsky dan Adam Stein (kedua-dua mengarahkan Freaks, 2018). Bagaimana gadis muda Stefanie Lewis mewarisi keistimewaan (lebih kepada kesialan) neneknya, Evelyn, meramal kejadian buruk serta kematian di masa depan.

Kematian seolah-olah berdendam kepada waris Evelyn kerana semasa dia masih muda, dia menyelamatkan semua orang di Skyview Restaurant Tower yang sepatutnya mati di pesta dansa berketinggian 400 kaki itu. Sejak itu, Evelyn percaya, kematian sedang menunggu untuk mencabut nyawanya sebaik sahaja dia melangkah keluar dari rumah.
Tapi memetik kata-kata Howard Campbell semasa mengangkat gelas di halaman rumah (lebih kurang) ‘kita akan mati, tapi janganlah kerana ketakutan itu kita menghabiskan sisa masa sendiri seperti Evelyn, lebih baik begini, kita hidup bersama-sama orang yang kita cinta’
Katanya yang kemudian mati, tapi terlalu sedikit yang menangisi kehilangannya. Seolah-olah ketakutan kepada maut lebih penting daripada rasa hilang orang disayang.
Tiada istilah meratapi, berkabung atau serupa dengannya dalam Final Destination seolah-olah memberitahu penonton ‘Tiada masa bersedih, semua harus mati’. Aneh, semua watak dalam filem ini mahu tetap hidup, walaupun kehidupan mereka tidaklah seindah mana.
Berbalik kepada persoalan yang saya buka di awal artikel ini, kematian dan rasa takut kepada kematian adalah normal kerana kita diajar bahawa hidup adalah sebuah perjalanan; kita mendewasa, membiak, kemudian mati. Sebab itu apa sahaja tentang kematian telah dibahaskan lama baik menerusi seni, sastera, falsafah dan psikologi.
Namun begitu, saya melihat dan berpendapat, Final Destination bertahan kerana individu yang menghasilkannya sepanjang enam filem ini (siapapun itu) memanipulasi sebuah keadaan yang dipanggil death anxiety.
Menerusi kajian The worm at the core: A terror management perspective on the roots of psychological dysfunction, ada menulis bahawa ketakutan untuk mati adalah sebuah perkara asas yang dirasai semua orang.
Bezanya, individu yang mempunyai keresahan melampau terhadap kematian akan bertindak lebih ekstrem seperti pertama, obsesif untuk memeriksa setiap keadaan lebih kerap, berulang kali bagi mengelak bahaya dan maut.
Kedua, fobia yang keterlaluan kepada tempat tinggi, haiwan, darah dan apa sahaja yang dirasakan berisiko mengundang kematian.
Dua kaedah inilah yang digunakan sepanjang enam buah filem secara berulang kali yang mungkin tidak anda sedari. Sebab itu dalam francais Final Destination tidak ada momen untuk bersugul, mengenang sesuatu dengan lama dan dalam, mahupun apa sahaja terapi untuk menghadapi sebuah kehilangan.
Apa yang penting ialah rasa resah, ketakutan dan kebimbangan yang sama terhadap kematian untuk dikerah, dimanipulasi demi melariskan satu lagi filem ngeri, selagi kita semua takut mati. -UTUSAN