KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan menerima kemasukan seramai 160 orang pelajar tingkatan enam bermula 10 Jun ini menerusi program rintis pertama yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program melibatkan 100 pelajar di UKM dan 60 pelajar di USM itu merupakan permulaan ke arah memperkasa pendidikan prauniversiti di institusi pengajian tinggi awam.
Katanya, inisiatif tersebut dimulakan di dua universiti terlebih dahulu bagi menilai keberkesanan pelaksanaan sebelum diperluaskan ke kampus-kampus lain.
“Daripada segi komitmen kami untuk meningkatkan kualiti dan martabat pendidikan tngkatan enam, program-program seperti ini diyakini dapat memberi manfaat besar kepada pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan Program Pendidikan Tingkatan Enam di universiti awam bermula tahun ini bagi lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Mengulas lanjut, Fahdlina berkata, segala persiapan rapi telah dilakukan oleh pihak kementerian bagi memastikan kelancaran kemasukan pelajar serta perjalanan program terbabit.
“Guru-guru dari Kementerian Pendidikan akan ditempatkan secara khusus di universiti berkenaan untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut silibus tingkatan enam.
“Bagi pihak KPM, kami sudah bersedia. Guru-guru kami juga telah bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran UKM dan USM,” katanya. – UTUSAN